Thursday, December 31, 2009

STRATEGI PENULISAN KARANGAN

STRATEGI PENULISAN KARANGAN

MERANGKA KARANGAN SECARA KLINIKAL

1. Strategi Menulis Perenggan Pendahuluan:

Pendahuluan mempunyai lapan jenis iaitu:

a) Pendahuluan jenis definisi

b) Pendahuluan jenis suasana

c) Pendahuluan jenis puisi

d) Pendahuluan jenis peribahasa

e) Pendahuluan jenis sejarah

f) Pendahuluan jenis gabungan

g) Pendahuluan jenis persoalan.

h) Pendahuluan jenis cerita.

i) Pendahuluan jenis pendapat tokoh.

Perenggan pendahuluan yang baik ditulis sekurang-kurangnya menggunakan lima ayat. Perenggan pendahuluan yang baik mempunyai kriteria yang boleh dipilih daripada jenis pendahuluan di atas kemudian digabungkan dalam satu perenggan.

Contohnya :

· Pendahuluan DWIFOKUS – sekiranya pelajar menulis 2 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan TRIMATRA – sekiranya pelajar menulis 3 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan 4 DIMENSI - sekiranya pelajar menulis 4 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan GABUNGAN 5 DALAM 1 - sekiranya pelajar menulis 5 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan ESTETIKA - sekiranya pelajar menulis perenggan pendahuluan menggunakan puisi.

PENDAHULUAN DWIFOKUS:

Definisi + Suasana.

Soalan

Amalan membaca seharusnya bermula di rumah. Adakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut. Huraikan pendapat anda.

Membaca sering ddidefinisikan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Di samping itu, membaca juga meliputi pengucapan apa-apa yang tertulis atau tercetak pada buku, papan tanda dan lain-lain secara lisan sama ada dengan kuat atau sebaliknya. (Definisi) Di Malaysia, membaca belum lagi dianggap menjadi amalan dalam kehidupan sebahagian besar rakyat negara ini. (suasana) Bagi golongan pelajar, membaca hanya menjadi rutin bagi tujuan mentelaah, manakala bagi golongan yang sudah melepasi dunia pelajar, mereka hanya membaca bahan bacaan ringan bukan bahan ilmiah yang menambahkan ilmu. (Suasana) Justeru, membaca wajarlah dijadikan amalan dan dipupuk sejak kecil dan seharusnya bermula dari rumah. (Ayat Judul)

PENDAHULUAN JENIS TRIMATRA.

Suasana + Cerita + Persoalan

Soalan:

Bencana alam seperti gempa bumi, banjir lumpur dan tsunami telah melanda beberapa negara sejak belakangan ini. Mala petaka ini memerlukan kerjasama sejagat bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Tulis sebuah rencana mengenai peranan Malaysia dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, dunia sering digemparkan dengan pelbagai bencana alam yang meragut ribuan nyawa. (Suasana) Menurut mitos dari Indonesia Mbah Maridjan, lelaki yang berusia 79 tahun ini amat dikenali namanya di Kanahreja Dusun Palemsari Kabupatin Sleman, Jawa Tengah. Beliau mengaku sebagai pemegang kunci Gunung Merapi yang akan memuntahkan lahar merahnya bila-bila masa sahaja. Beliau yang tinggal tiga kilometer dari kawah lahar yang sedang mendidih itu mengaku mendapat perintah daripada Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX yang melantiknya sebagai juru kunci gunung itu beberapa waktu yang silam. Pengaruh Mbah Maridjan sangat kuat dalam kalangan penduduk di desanya sehingga beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan berganjak dari kawasan itu walaupun dipaksa. (Cerita) Persoalannya, apakah yang akan terjadi kepada seluruh penduduk di kawasan itu apabila Gunung Merapi itu memuntahkan lahar merahnya? (Persoalan) Apakah pula peranan negara ini dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana alam seperti itu, di samping bencana yang lain seumpama tsunami, banjir lumpur dan taufan? (Ayat Judul)

PENDAHULUAN JENIS 4 DIMENSI:

Definisi + Pendapat tokoh + Peribahasa + Persoalan

Soalan :

Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum banyak mendatangkan faedah.

Jelaskan pendapat anda tentang faedah-faedah tersebut.

Kokurikulum ditakrifkan sebagai aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah yang dilakukan selepas waktu pembelajaran. (Definisi) Pegawai Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Selangor, En. Mohd Zaim Abu samah berkata, inovasi yang ditunjukkan oleh pelajar yang aktif adalah bermutu tinggi, sekali gus elemen penting ini dapat melengkapkan prestasi akademik mereka secara bersepadu dalam aktiviti kokurikulum. (Pendapat Tokoh) Aktiviti ini boleh melahirkan pelajar yang mempunyai sikap suka bekerjasama, bak kata pepatah “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. (Peribahasa) Persoalannya, mengapa sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa penglibatan anak-anak mereka dalam aktiviti ini hanya membazir masa? (Persoalan) Dalam perbincangan ini, saya akan membicarakan secara tuntas tentang faedah-faedah penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. (Ayat Judul)

PENDAHULUAN JENIS ESTETIKA.

Lirik lagu

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.

Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.


Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang

Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?

2. Perenggan isi.

Penjanaan Idea/Isi karangan

Masalah yang dihadapi oleh pelajar ialah bagaimana hendak mengembangkan idea/isi karangan. Keadaan ini disebabkan penguasaan bahasa pelajar agak lemah. Bagi membimbing pelajar berkenaan agar ada panduan yang boleh membantu mereka menulis karangan pada tahap yang minimum, satu kaedah boleh guru amalkan dengan melatih pelajar mengenal pasti isi umum. Berasaskan isi umum pelajar boleh mengembangkan isi dengan kaedah menyoal kembali isi umum iaitu menjawab soalan APA?, BAGAIMANA?, BILA?, dan MENGAPA? .Persoalan APA merupakan isi utama dan BAGAIMANA, BILA, MENGAPA, merupakan huraian isi. Berikut adalah contoh pengembangan idea/isi karangan.

Ayat 1 - Ayat isi menjawab soalah Apa?

Ayat 2 - Huraian menjawab soalan Bagaimana?

Ayat 3 - Huraian menjawab soalan Bila?

Ayat 4 - Contoh jika ada

Ayat 5 - Huraian menjawab soalan Mengapa?

Ayat 6 - Kesan

Ayat 7 - Ayat penyimpul .

Contoh Soalan 1

Kesedaran mencintai alam sekitar seharusnya wujud dalam diri setiap ahli keluarga.

Jelaskan peranan setiap ahli keluarga untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Isi Aktiviti membersihkan dan mengindahkan persekitaran rumah

(Apakah peranan ahli keluarga untuk mewujudkan kesedaran alam sekitar?

Peranan setiap ahli keluarga untuk merealisasikan kesedaran mencintai alam sekitar adalah dengan melaksanakan aktiviti membersihkan dan mengindahkan persekitaran rumah (Apakah aktiviti yang boleh dilakukan?). Aktiviti ini boleh dilaksanakan bersama-sama ahli keluarga(Bagaimana aktiviti ini boleh dilakukan). Aktiviti ini boleh dilakukan pada waktu cuti hujung minggu. (Bilakah aktiviti ini boleh dilakukan?). Contohnya membersihkan kawasan rumah dan menanam pokok hiasan (Contoh). Apabila di laksanakan menyebabkan hubungan antara keluarga menjadi erat. (Mengapa aktiviti ini perlu dilakukan ?). Kesannya, kawasan persekitaran rumah menjadi cantik dan akan menimbulkan kesedaran untuk mencintai alam sekitar. (Kesan). Sesungguhnya aktiviti membersihkan kawasan rumah pada hujung minggu boleh menimbulkan kesedaran ahli keluarga untuk mencintai alam sekitar. (Ayat penyimpul : Penggunaan Penanda wacana dan kaitkan dengan kehendak soalan))

Contoh Soalan

Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menangani gejala vandalisme (SPM 2005)

Isi : untuk menangani gejala vandalisme adalah dengan mengadakan kempen di media massa.

(Apakah usaha yang boleh dilakukan?)

Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menanggani gejala vandalisme adalah dengan mengadakan kempen di media massa (Apakah usaha yang boleh dilakukan?). Kempen yang menerangkan keburukan mengamalkan sifat vandalisme ini boleh dilaksanakan melalui media massa. (Bagaimanakah usaha ini boleh dilaksanakan?). Kempen menangani gejala vandalisme ini boleh dipaparkan melalui kaca televisyen pada bila-bila masa sahaja.(Bilakah kempen ini boleh dilaksanakan?) Contohnya, iklan di televisyen memaparkan tentang kesedaran menjaga harta benda awam. (Contoh) .Apabila kesedaran timbul dalam kalangan masyarakat, orang ramai akan menghargai kepentingan menjaga harta benda awam. (Mengapa kempen ini perlu dilaksanakan?) Kesannya, gejala vandalisme dapat dikurangkan.(Kesan) . Dengan ini, kempen melalui media massa secara berterusan akan dapat mengurangkan gejala vandalisme.(Ayat Penyimpul : Penggunaan Penanda Wacana dan kaitkan dengan kehendak soalan)

Contoh Soalan

Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah. Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak- anak. (SPM 2005)

Isi: Peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak adalah melalui pendidikan agama.

(Apakah peranan keluarga untuk membentuk sahsiah anak-anak)

Peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak adalah melalui pendidikan agama. (Apakah peranan keluarga untuk membentuk sahsiah anak-anak?) Ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka diberikan pelajaran agama secukupnya.(Bagaimanakah peranan ini boleh dilakukan?)Didikan agama ini perlu diberikan sejak anak-anak mereka masih kecil lagi.(Bilakah peranan ini perlu dilakukan?) Contohnya, ibu bapa boleh mengajar anak mereka amalan beragama seperti bersembahyang, berpuasa, dosa dan pahala bagi yang beragama Islam. (Contoh) Apabila anak dapat menghayati agama, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara negatif. (Mengapa peranan ini perlu dilakukan?). Kesannya, sahsiah anak-anak menjadi bertambah baik.(Kesan) . Oleh itu, pendidikan agama memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.(Ayat Penyimpul : penggunaan Penanda Wacana dan dikaitkan dengan kehendak soalan.)

3. Perenggan Penutup Karangan

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH

i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1


Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3


Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)

SEKIAN TERIMA KASIH

Disediakan oleh

PN. SHERIZAI BT. ISMAIL

GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU

SMK JELAPANG JAYA.