Thursday, December 31, 2009

STRATEGI PENULISAN KARANGAN

STRATEGI PENULISAN KARANGAN

MERANGKA KARANGAN SECARA KLINIKAL

1. Strategi Menulis Perenggan Pendahuluan:

Pendahuluan mempunyai lapan jenis iaitu:

a) Pendahuluan jenis definisi

b) Pendahuluan jenis suasana

c) Pendahuluan jenis puisi

d) Pendahuluan jenis peribahasa

e) Pendahuluan jenis sejarah

f) Pendahuluan jenis gabungan

g) Pendahuluan jenis persoalan.

h) Pendahuluan jenis cerita.

i) Pendahuluan jenis pendapat tokoh.

Perenggan pendahuluan yang baik ditulis sekurang-kurangnya menggunakan lima ayat. Perenggan pendahuluan yang baik mempunyai kriteria yang boleh dipilih daripada jenis pendahuluan di atas kemudian digabungkan dalam satu perenggan.

Contohnya :

· Pendahuluan DWIFOKUS – sekiranya pelajar menulis 2 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan TRIMATRA – sekiranya pelajar menulis 3 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan 4 DIMENSI - sekiranya pelajar menulis 4 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan GABUNGAN 5 DALAM 1 - sekiranya pelajar menulis 5 jenis pendahuluan dalam satu perenggan.

· Pendahuluan ESTETIKA - sekiranya pelajar menulis perenggan pendahuluan menggunakan puisi.

PENDAHULUAN DWIFOKUS:

Definisi + Suasana.

Soalan

Amalan membaca seharusnya bermula di rumah. Adakah anda bersetuju dengan pendapat tersebut. Huraikan pendapat anda.

Membaca sering ddidefinisikan sebagai memerhatikan isi sesuatu yang tertulis atau tercetak dengan teliti dan memahamkan makna kandungannya. Di samping itu, membaca juga meliputi pengucapan apa-apa yang tertulis atau tercetak pada buku, papan tanda dan lain-lain secara lisan sama ada dengan kuat atau sebaliknya. (Definisi) Di Malaysia, membaca belum lagi dianggap menjadi amalan dalam kehidupan sebahagian besar rakyat negara ini. (suasana) Bagi golongan pelajar, membaca hanya menjadi rutin bagi tujuan mentelaah, manakala bagi golongan yang sudah melepasi dunia pelajar, mereka hanya membaca bahan bacaan ringan bukan bahan ilmiah yang menambahkan ilmu. (Suasana) Justeru, membaca wajarlah dijadikan amalan dan dipupuk sejak kecil dan seharusnya bermula dari rumah. (Ayat Judul)

PENDAHULUAN JENIS TRIMATRA.

Suasana + Cerita + Persoalan

Soalan:

Bencana alam seperti gempa bumi, banjir lumpur dan tsunami telah melanda beberapa negara sejak belakangan ini. Mala petaka ini memerlukan kerjasama sejagat bagi membantu mangsa-mangsa yang terlibat.

Tulis sebuah rencana mengenai peranan Malaysia dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa tersebut.

Sejak akhir-akhir ini, dunia sering digemparkan dengan pelbagai bencana alam yang meragut ribuan nyawa. (Suasana) Menurut mitos dari Indonesia Mbah Maridjan, lelaki yang berusia 79 tahun ini amat dikenali namanya di Kanahreja Dusun Palemsari Kabupatin Sleman, Jawa Tengah. Beliau mengaku sebagai pemegang kunci Gunung Merapi yang akan memuntahkan lahar merahnya bila-bila masa sahaja. Beliau yang tinggal tiga kilometer dari kawah lahar yang sedang mendidih itu mengaku mendapat perintah daripada Almarhum Sultan Hamengku Buwono IX yang melantiknya sebagai juru kunci gunung itu beberapa waktu yang silam. Pengaruh Mbah Maridjan sangat kuat dalam kalangan penduduk di desanya sehingga beliau dan pengikut-pengikutnya tidak akan berganjak dari kawasan itu walaupun dipaksa. (Cerita) Persoalannya, apakah yang akan terjadi kepada seluruh penduduk di kawasan itu apabila Gunung Merapi itu memuntahkan lahar merahnya? (Persoalan) Apakah pula peranan negara ini dalam meringankan beban yang ditanggung oleh mangsa bencana alam seperti itu, di samping bencana yang lain seumpama tsunami, banjir lumpur dan taufan? (Ayat Judul)

PENDAHULUAN JENIS 4 DIMENSI:

Definisi + Pendapat tokoh + Peribahasa + Persoalan

Soalan :

Penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum banyak mendatangkan faedah.

Jelaskan pendapat anda tentang faedah-faedah tersebut.

Kokurikulum ditakrifkan sebagai aktiviti yang dijalankan di luar bilik darjah yang dilakukan selepas waktu pembelajaran. (Definisi) Pegawai Unit Kokurikulum Jabatan Pelajaran Selangor, En. Mohd Zaim Abu samah berkata, inovasi yang ditunjukkan oleh pelajar yang aktif adalah bermutu tinggi, sekali gus elemen penting ini dapat melengkapkan prestasi akademik mereka secara bersepadu dalam aktiviti kokurikulum. (Pendapat Tokoh) Aktiviti ini boleh melahirkan pelajar yang mempunyai sikap suka bekerjasama, bak kata pepatah “Bersatu kita teguh, bercerai kita roboh”. (Peribahasa) Persoalannya, mengapa sesetengah ibu bapa berpendapat bahawa penglibatan anak-anak mereka dalam aktiviti ini hanya membazir masa? (Persoalan) Dalam perbincangan ini, saya akan membicarakan secara tuntas tentang faedah-faedah penyertaan pelajar dalam aktiviti kokurikulum. (Ayat Judul)

PENDAHULUAN JENIS ESTETIKA.

Lirik lagu

Pelbagai langkah telah diambil oleh pihak kerajaan untuk memajukan sektor pertanian di samping meningkatkan taraf hidup golongan petani.

Tulis sebuah rencana tentang sumbangan sektor pertanian terhadap ekonomi negara untuk dimuatkan dalam akhbar tempatan.


Burung yang berkicau
Air mengalir tenang
Sejuk mata memandang
Damai mempesonakan
Padi melambai-lambai
Gadis di tepi bendang
Walau panas membahang
Tetap manis tersenyum riang

Lagu ’Desa Tercinta’ dendangan Nora yang dikategorikan dalam genre muzik irama Malaysia ini sangat popular sekitar tahun 2000 yang lalu. Ilustrasi di dalam lagu tersebut menunjukkan betapa harmoni hubungan antara alam dengan insan. Lebih jauh lagi, lagu itu berusaha memberikan gambaran tentang keindahan sebuah kampung tradisional di negara kita. Kampung tersebut masih mengekalkan sektor pertanian, khususnya penanaman padi sebagai sumber utama pendapatan penduduknya. Walau bagaimanapun, gambaran seumpama itu hanya indah dan terdapat di beberapa perkampungan di negara kita, sedangkan desa yang lainnya sudah dicalar oleh projek pembangunan yang menggila. Di sisi yang lain, sektor pertanian sesungguhnya masih amat diperlukan untuk terus membangunkan negara. Lantaran itu, apakah langkah-langkah proaktif yang wajar dilaksanakan bagi memajukan sektor pertanian di negara ini?

2. Perenggan isi.

Penjanaan Idea/Isi karangan

Masalah yang dihadapi oleh pelajar ialah bagaimana hendak mengembangkan idea/isi karangan. Keadaan ini disebabkan penguasaan bahasa pelajar agak lemah. Bagi membimbing pelajar berkenaan agar ada panduan yang boleh membantu mereka menulis karangan pada tahap yang minimum, satu kaedah boleh guru amalkan dengan melatih pelajar mengenal pasti isi umum. Berasaskan isi umum pelajar boleh mengembangkan isi dengan kaedah menyoal kembali isi umum iaitu menjawab soalan APA?, BAGAIMANA?, BILA?, dan MENGAPA? .Persoalan APA merupakan isi utama dan BAGAIMANA, BILA, MENGAPA, merupakan huraian isi. Berikut adalah contoh pengembangan idea/isi karangan.

Ayat 1 - Ayat isi menjawab soalah Apa?

Ayat 2 - Huraian menjawab soalan Bagaimana?

Ayat 3 - Huraian menjawab soalan Bila?

Ayat 4 - Contoh jika ada

Ayat 5 - Huraian menjawab soalan Mengapa?

Ayat 6 - Kesan

Ayat 7 - Ayat penyimpul .

Contoh Soalan 1

Kesedaran mencintai alam sekitar seharusnya wujud dalam diri setiap ahli keluarga.

Jelaskan peranan setiap ahli keluarga untuk merealisasikan hasrat tersebut.

Isi Aktiviti membersihkan dan mengindahkan persekitaran rumah

(Apakah peranan ahli keluarga untuk mewujudkan kesedaran alam sekitar?

Peranan setiap ahli keluarga untuk merealisasikan kesedaran mencintai alam sekitar adalah dengan melaksanakan aktiviti membersihkan dan mengindahkan persekitaran rumah (Apakah aktiviti yang boleh dilakukan?). Aktiviti ini boleh dilaksanakan bersama-sama ahli keluarga(Bagaimana aktiviti ini boleh dilakukan). Aktiviti ini boleh dilakukan pada waktu cuti hujung minggu. (Bilakah aktiviti ini boleh dilakukan?). Contohnya membersihkan kawasan rumah dan menanam pokok hiasan (Contoh). Apabila di laksanakan menyebabkan hubungan antara keluarga menjadi erat. (Mengapa aktiviti ini perlu dilakukan ?). Kesannya, kawasan persekitaran rumah menjadi cantik dan akan menimbulkan kesedaran untuk mencintai alam sekitar. (Kesan). Sesungguhnya aktiviti membersihkan kawasan rumah pada hujung minggu boleh menimbulkan kesedaran ahli keluarga untuk mencintai alam sekitar. (Ayat penyimpul : Penggunaan Penanda wacana dan kaitkan dengan kehendak soalan))

Contoh Soalan

Huraikan pendapat anda tentang usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menangani gejala vandalisme (SPM 2005)

Isi : untuk menangani gejala vandalisme adalah dengan mengadakan kempen di media massa.

(Apakah usaha yang boleh dilakukan?)

Usaha-usaha yang perlu dilakukan untuk menanggani gejala vandalisme adalah dengan mengadakan kempen di media massa (Apakah usaha yang boleh dilakukan?). Kempen yang menerangkan keburukan mengamalkan sifat vandalisme ini boleh dilaksanakan melalui media massa. (Bagaimanakah usaha ini boleh dilaksanakan?). Kempen menangani gejala vandalisme ini boleh dipaparkan melalui kaca televisyen pada bila-bila masa sahaja.(Bilakah kempen ini boleh dilaksanakan?) Contohnya, iklan di televisyen memaparkan tentang kesedaran menjaga harta benda awam. (Contoh) .Apabila kesedaran timbul dalam kalangan masyarakat, orang ramai akan menghargai kepentingan menjaga harta benda awam. (Mengapa kempen ini perlu dilaksanakan?) Kesannya, gejala vandalisme dapat dikurangkan.(Kesan) . Dengan ini, kempen melalui media massa secara berterusan akan dapat mengurangkan gejala vandalisme.(Ayat Penyimpul : Penggunaan Penanda Wacana dan kaitkan dengan kehendak soalan)

Contoh Soalan

Keluarga memainkan peranan penting dalam mencorakkan kehidupan anak-anak. Oleh itu, pendidikan anak-anak sebenarnya bermula di rumah. Berikan pendapat anda tentang peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak- anak. (SPM 2005)

Isi: Peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak adalah melalui pendidikan agama.

(Apakah peranan keluarga untuk membentuk sahsiah anak-anak)

Peranan keluarga dalam pembentukan sahsiah anak-anak adalah melalui pendidikan agama. (Apakah peranan keluarga untuk membentuk sahsiah anak-anak?) Ibu bapa perlulah memastikan anak-anak mereka diberikan pelajaran agama secukupnya.(Bagaimanakah peranan ini boleh dilakukan?)Didikan agama ini perlu diberikan sejak anak-anak mereka masih kecil lagi.(Bilakah peranan ini perlu dilakukan?) Contohnya, ibu bapa boleh mengajar anak mereka amalan beragama seperti bersembahyang, berpuasa, dosa dan pahala bagi yang beragama Islam. (Contoh) Apabila anak dapat menghayati agama, mereka tidak akan melakukan perkara-perkara negatif. (Mengapa peranan ini perlu dilakukan?). Kesannya, sahsiah anak-anak menjadi bertambah baik.(Kesan) . Oleh itu, pendidikan agama memainkan peranan penting dalam pembentukan sahsiah anak-anak.(Ayat Penyimpul : penggunaan Penanda Wacana dan dikaitkan dengan kehendak soalan.)

3. Perenggan Penutup Karangan

Menulis Perenggan Penutup dengan Menggunakan Teknik KHPK dan KHH

i. KHPK – (Kesimpulan, Huraian, Peribahasa, Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 1


Oleh hal yang demikian, masalah rasuah perlulah ditangani oleh pihak berkuasa dengan kerjasama anggota masyarakat. (Kesimpulan) Pihak berkuasa hendaklah mengadakan kempen secara besar-besaran tentang keburukan dan kesan rasuah kepada masyarakat. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Hal ini demikian kerana, jika masalah rasuah tidak diatasi sudah tentu perkara ini akan merosakkan jentera pentadbiran negara. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, sebelum nasi menjadi bubur, kita berharap agar masalah ini dapat ditangani dengan berkesan sebelum menjadi lebih serius. (Peribahasa) Sekiranya hal ini dapat direalisasikan, sudah pastilah masyarakat dan negara kita akan bebas daripada belenggu rasuah. (Kepentingan)

Perenggan Penutup Contoh 2

Oleh hal yang demikian, pelaburan asing memang penting untuk menjana ekonomi sesebuah negara. (Kesimpulan) Usaha-usaha yang serius hendaklah dipertingkat untuk menarik pelaburan asing agar hal ini akan menambahkan pelaburan ke dalam negara kita. (Huraian – Apa yang perlu dibuat) Sekiranya pelabur asing kurang membuat pelaburan di sesebuah negara sudah pastinya ekonomi negara tersebut sukar untuk berkembang. (Huraian – Apa kesannya) Hal ini demikian kerana, negara-negara tersebut mengalami masalah kekurangan modal untuk membangunkan negara mereka. (Huraian – Apa kesannya) Jadi, pihak yang bertanggungjawab dalam bidang pelaburan ini hendaklah mencari jalan (Peribahasa) bagi menarik lebih banyak pelabur asing untuk membuat pelaburan. (Kepentingan)


ii. KHH (Kesimpulan, Huraian, Harapan)

Perenggan Penutup Contoh 3


Kesimpulannya, semua pihak perlulah bekerjasama untuk membanteras masalah jenayah yang berlaku di negara kita. (K) Dengan kata lain, anggota masyarakat perlulah berganding bahu dengan pihak berkuasa iaitu melaporkan kejadian jenayah yang berlaku itu dengan segera. (H) Dengan cara itu, masalah jenayah ini sudah pasti dapat dikurangkan dan dibanteras daripada terus berleluasa di negara kita. (H)

SEKIAN TERIMA KASIH

Disediakan oleh

PN. SHERIZAI BT. ISMAIL

GURU CEMERLANG BAHASA MELAYU

SMK JELAPANG JAYA.




Saturday, October 31, 2009

NOVEL PERLUMBAAN KEDUA & JULIA

BAHASA MELAYU TINGKATAN 5.

CONTOH SOALAN DAN JAWAPAN NOVEL PERLUMBAAN KEDUA DAN JULIA.

Setiap jawapan hendaklah menggunakan ayat yang sempurna. Jangan jawab dalam bentuk point.

1. Tema dan persoalan merupakan idea pengarang terhadap cerita yang ingin dikemukakan dalam sesebuah karya sastera. Jelaskan tema dalam sebuah novel yang anda kaji.[ 7markah ]

Tema Perlumbaan Kedua:

Kebijaksanaan dalam menyusun strategi yang akhirnya membawa kejayaan.

Huraian:

· Tuk Kura Berjaya menyusun strategi untuk memenangi perlumbaan kedua.

· Tuk Kura berjaya mempengaruhi anak-anak buahnya supaya menyertai perlumbaan kedua walaupun ditentang oleh suku-sakatnya.

· Walaupun telah berusia hamper 200 tahun tetapi Tuk Kura tetap bijak mengalahkan lawannya yang jauh lebih muda daripadanya dengan menggolekkan dan melantunkan badannya untuk sampai ke garisan penamat.

· Tuk Kura berjaya mengalahkan Sang Arnab Putih dalam perlumbaan kedua.

Tema novel Julia.

Kegigihan seorang gadis dalam menghadapi cabaran dalam kehidupan.

Huraian :

· Sebagai ahli koperat muda, Julia gigih berusaha memulihkan keadaan syarikat peninggalan ayahnya, BMPRO Holdings yang terumbang ambing dan hamper bankrap.

· Julia gigih membesarkan adik-adiknya dan mengambil alih tugas sebagai ketua keluarga setelah kematian kedua-dua ibu bapanya dalam kemalangan jalan raya.

· Julia gigih mempelbagaikan program syarikat seperti projek homestay untuk mengatasi kegawatan ekonomi yang melanda Negara.

2. Latar masa merupakan aspek penting dalam sebuah novel. Huraikan tiga latar masa dan peristiwa yang berlaku berdasarkan novel yang anda pelajari. ( 8 markah)

Latar masa dalam novel Julia

1. Sekitar tahun 1977

· Negara mengalami jerebu yang serius sehinggakan Bandar Kuching diisytiharkan darurat kerana jerebu.

2. Tahun 1977 – 1988

· Pada waktu ini Negara mengalami masalah kegawatan ekonomi.

3. Waktu pagi

· Julia dan ibunya menaiki penerbangan ke Perth pada pukul 9.36 pagi.

· Kunjungan Julia ke pusara ibu bapanya di kawasan perkuburan Bukit Kiara selepas sembahyang subuh dan mendengar kuliah yang disampaikan oleh neneknya.

Latar masa dalam novel Perlumbaan Kedua.

1. Malam

· Anak-anak Sang Arnab ke kampong untuk mencuri telur, ubi dan juga keledek sebagai habuan untuk Sang Tedung dan Sang Tikus Tanah.

· Tuk Kura dan cucu-cucunya bermalam di Padang Tebrau.

2. Pagi

· Pertemuan Sang Arnab dan Tuk Kura di padang rumput berlaku pada waktu pagi.

· Peristiwa perlumbaan antara Sang Arnab dengan Tuk Kura.

3. Petang.

· Tuk Kura dan cucu-cucunya bertolak dari paya ke padang rumput.

3. Watak utama kerap diuji dengan pelbagai halangan namun tabah menghadapinya. Huraikan tiga bukti ketabahan watak utama yang terdapat dalam novel yang anda baca. ( 7 markah )

Novel

Watak utama

Contoh ketabahan

Julia

Julia

1. Julia tabah menghadapi kehidupan barunya sebagai

pelajar di HIC. Dia cuba berubah menjadi gadis yang berakhlak mulia.

2. Julia tabah menghadapi berita kemalangan abah dan mamanya di Karak. Julia berdoa agar mereka selamat.

3. julia tabah memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga setelah kematian abah dan mamanya.

Perlumbaan Kedua.

Tuk Kura.

1.Tuk Kura tabah menghadapi kemarahan kura-kura lain yang menyalahkannya akibat terburu-buru menerima cabaran untuk bertanding dengan arnab.

2.Tuk Kura tabah menghadapi tindakan Sang Kura Rimba dan rakan-rakannya yang enggan mematuhi arahannya. Semasa latihan Tuk Kura terus melatih kura-kura walaupun dipulau.

3.Tuk Kura bertapa dengan tabah untuk mencari ilham menghadapi perlumbaah dengan arnab.

4. Jelaskan dua peristiwa yang menggambarkan nilai keberanian pada watak utama dalam sebuah novel yang anda pelajari.

Peristiwa yang mempunyai nilai keberanian ialah

Tuk Kura berani

- Menyahut cabaran berlumba dengan sang Arnab putih.

Tuk Kura bersetuju mewakili suku sakatnya untuk berlumba.

- Mempertaruhkan maruah demi mempertahankan kejuaraan kali pertamanya.

Kura-kura pernah jadi juara kali pertama.

- Mewakili suku-sakatnya untuk menjadi peserta pertandingan.

Tuk Kura menjadi peserta dalam pertandingan.

- Menggunakan tubuh badannya untuk melantun semasa pertandingan.

Tuk Kura mengambil risiko melatih anak buahnya meniti batang dan batu hampar.

Julia berani

- Mengambil alih BMPRO holding selepas kematian ibu bapanya.

Menghadapi kemerosotan perniagaan dalam usia 21 tahun.

- Menolak permintaan Rashid supaya berkawan semula dengannya.

Julia berani menolak permintaan Rashid untuk berkawan semula.

- Menghadapi karenah syed Mustafa yang menuntut Butik BMPRO

Syed Mustafa memaksa Julia menyerahkan butik kepada Umi Sarah.

- Bertindak menghapuskan penyelewengan dalam BMPRO.

Julia sanggup menyiasat perjalanan bas.

5. Teknik imbas kembali biasanya digunakan oleh pengarang untuk mengembangkan plot supaya ceritanya menarik.

Huraikan peristiwa imbas kembali yang telah digunakan oleh pengarang berdasarkan dua buah novel yang anda pelajari.

Perlumbaan Kedua:

1. Mengimbas kembali peristiwa kekalahan Sang Arnab dalam perlumbaan dengan Sang Kura-kura.

- Sang Kancil mencabar Arnab Putih dengan menceritakan kisah kekalahan nenek moyang Arnab Putih dalam perlumbaan dengan kura-kura. Hal ini menyebabkan arnab putih membuat tawaran perlumbaan kedua antara arnab dengan kura-kura.

ATAU

- Tuk Kura mengimbas kembali perlumbaan pertama yang pernah disaksikannya semasa dia masih kecil. Dalam perlumbaan itu datuknya menang.

ATAU

- Sang Kijang dan Sang Babi bercakap tentang peristiwa kekalahan nenek moyang arnab dalam perlumbaan dengan kura-kura. Mereka bercakap tentang kesilapan nenek moyang mereka dan sebab-sebab kekalahan Sang Arnab.

2. Mengimbas kembali peristiwa kekalahan Sang Kancil dalam perlumbaan dengan Sang Siput.

- Bapa Sang Arnab mengingatkan peristiwa itu kepada Sang Gajah sebagai alas an untuk memotong lalang dan pokok-pokok renek di lereng bukit batu, tempat perlumbaan diadakan. Tindakan tersebut dapat mengelakkan penipuan seperti yang terjadi dalam perlumbaan antara Sang Kancil dengan Sang Siput. Permintaannya itu dipersetujui oleh Sang Gajah dengan syarat hal itu diberitahu kepada Tuk Kura.

3. Mengimbas kembali peristiwa pertemuan Sang Murai dengan Tuk Kura berkaitan dengan pemotongan lalang dan pokok renek di lereng bukit.

- Sang Arnab Perang menceritakan hal tersebut yang diterimanya melalui Sang Murai. Bapa Sang Arnab ingin mengetahui reaksi Tuk Kura tentang hal itu. Sang Arnab oren menjelaskan bahawa Tuk Kura tidak membantah halite malah menerimanya dengan baik.

Julia

1. Mengimbas kembali peristiwa perbualan antara Julia dengan ibu bapanya tentang pembelajarannya di Hidayah Islamic College.

· Julia teringat perbualannya dengan ibu bapanya yang ingin menghantarnya ke Australia untuk belajar di Hidayah Islamic College semasa di dalam kapal terbang dalam perjalanan dari Kuala Lumpur ke Australia.

2. Mengimbas kembali peristiwa hubungan Julia dengan Rashid, Muna dan Han.

· Julia teringat akan hubungannya dengan Rashid, Muna dan Han. Mereka cuba mempersoalkan keputusan yang diambil oleh Julia untuk melanjutkan pelajarannya ke Australia.

ATAU

· Julia juga mengimbas kembali hubungan dengan Rashid. Dia hamper jatuh cinta dengan Rashid. Dia juga hampir terpedaya oleh pujuk rayu Rashid.

3. Mengimbas kembali peristiwa Julia menerima ugutan daripada Rashid.

· Julia teringat akan peristiwa dia menerima panggilan telefon daripada Rashid. Rashid mengugutnya dan meminta Julia supaya berbaik-baik semula dengan Rashid. Rashid mengajaknya keluar bersama-samanya namun ajakan Rashid itu tidak dilayan.

4. Mengimbas kembali peristiwa Julia dan rakannya pergi ke Katanning.

· Julia teringat semasa dia bersama rakan-rakannya Safiyya, Sumaiyah, Saknah dan Sadia ke katanning, 350 km dari Perth untuk menziarahi keluarga Sadia. Mereka juga sempat melawat tempat-tempat yang menarik di Australia.

6. Berdasarkan dua buah novel yang anda kaji, jelaskan nilai-nilai kemanusiaan yang terkandung dalam setiap novel tersebut.

Nilai kemanusiaan dalam novel Perlumbaan Kedua

1. Nilai kebijaksaan – Tuk Kura menggunakan segala pengalamannya untuk memastikan kejayaannya dalam perlumbaan kedua.

2. Nilai tegas – nilai ini terdapat pada watak Tuk Kura yang bertegas dengan pendiriannya untuk berlatih meniti batang pokok dan batu hampar yang licin serta bertegas untuk turun sendirian dari puncak bukit.

3. Nilai kejujuran – Sang Gajah yang dilantik sebagai pengadil menjalankan tugasnya dengan jujur dan amanah.

4. Nilai muafakat – Sang Tupai dan Sang Murai membantu Sang Kancil menghebahkan berita perlumbaan yang akan diadakan kepada binatang lain.

Nilai kemanusiaan dalam novel Julia.

1. Nilai kasih sayang – Julia amat menyayangi abah,mama, adik-beradiknya dan Jun.

2. Nilai keinsafan – tergambar pada watak Julia yang berasa insaf akan kesilapan yang dilakukannya sewaktu remaja yang bergaul bebas dengan rakan-rakannya.

3. Nilai ketegasan – Julia tegas dengan pendiriannya dan tidak terpengaruh oleh pujukan Rashid yang mengajaknya berfoya-foya.

4. Nilai nasihat-menasihati – Tan Sri Yahya sentiasa memberikan nasihat kepada Datuk Bakar dalam urusan perniagaannya.

7. Setiap novel memberi kesan negaif kepada pembaca. Berikan tiga peristiwa dalam novel Julia yang memberi teladan kepada pembaca.

Peristiwa yang memberi teladan kepada pembaca dalam novel Julia ialah

1. Peristiwa Datuk Bakar mengambil keputusan menghantar Julia belajar di Australia.

· Julia dihantar belajar ke Australia di Hidayah Islamic College untuk mendalami agama Islam dan mengelakkan diri daripada bercampur dengan rakan sebaya yang terdedah kepada perbuatan maksiat. Hal ini menunjukkan, kita perlu akur akan keputusan yang ibu bapa kita ambil untuk kebaikan diri kita.

2. Peristiwa Pak cik Khairil memaklumkan kepada Julai tentang kematian abah dan mamanya.

· Apabila mendapat perkhabaran tersebut Julia terus pengsan. Hal ini menunjukkan akan perlunya kita mengakui qada dan qadak daripada Allah dan menghadapi peristiwa yang buruk dengan hati yang cekal.

3. Peristiwa kedatangan isteri muda arwah ayahnya menemui Julia.

· Julia menyambut kedatangan Ummi Sarah dengan bersikap kasar, tetapi apabila diterangkan kedudukan sebenar bahawa Ummi Sarah terlibat dalam perniagaan untuk membesarkan perniagaan dan membayar hutang arwah suaminya, Julia segera memohon maaf. Hal inimenunjukkan betapa perlunya kita berprasangka baik terhadap orang lain.

8. Jelaskan tiga perbezaan perwatakan dalam novel Julia.

Perbezaan perwatakan yang jelas menerusi dua watak yang dikaji iaitu watak Julia dan Jun.

1. Julia seorang yang berterus terang manakala Jun suka berselindung.

· Julia tidak berselindung tentang latar belakang keluarga dan syarikatnya,manakala Jun hinggalah di penghujung cerita baharulah Jun memberitahu dirinya beragama Islam.

2. Julia bertanggungjawab terhadap keluarganya, manakala Jun tidak dinyatakan secara jelas tentang keluarganya.

· Setelah kedua-dua orang tuanya meninggal dunia, Julia memastikan kesejahteraan. Manakala Jun, oleh sebab pengarang tidak menyatakan dengan jelas latar belakang keluarganya sehinggalah di penghujung. Jadi, kia berangapan dia tidak mengambil berat tentang keluarganya.

3. Julia gigih memajukan syarikat, manakala Jun selesa membantu yarikat Julai.

· Setelah kedua-dua orang tuanya meninggal dunia, Julia bekerja keras memajukan syarikat BMPRO Holdings Sdn. Bhd. Manakala Jun lebih selesa membantu syarikat Julia tanpa keinginan untuk membina syarikat sendiri.

9. Salah satu aspek yang memberikan kekuatan kepada novel ialah penggunaan gaya bahasa.

Huraikan dua tujuan penulis menggunakan gaya bahasa dalam novel yang anda kaji.

Perlumbaan Kedua

Gaya bahasa digunakan bertujuan untuk memberikanmaksud atau gambaran yang berkesan

kepada pembaca. Selain itu, gaya bahasa juga memberi kesan keindahan kepada novel tersebut.

Perlumbaan Kedua menggunakan gaya bahasa simile. Contohnya, binatang-binatang yang hadir

bersorak dan menjulang Tuk Kura bagai seorang pahlawan….

Julia:

Gaya bahasa digunakan bertujuan untuk memberikan maksud atau gambaran yang berkesan kepada pembaca. Selain itu gaya bahasa juga digunakan untuk member kesan keindahan kepada novel tersebut.

Novel Julia menggunakan gaya bahasa personifikasi. Contohnya, jalur fikirannya merayap entah ke mana…..

10. Bandingkan peranan dua watak pembantu dalam novel yang anda kaji.

Novel Perlumbaan Kedua:

Dua watak pembantu dalam novel ini ialah Sang Arnab Putih dan Sang Gajah. Sang Arnab Putih mencabar Tuk Kura untuk menebus maruah datuk nenek mereka. Sang Arnab Putih sentiasa mencari rahsia Tuk Kura bagi menewaskannya dalam perlumbaan kedua.

Manakala Sang Gajah merupakan watak pembantu yang menjadi hakim dalam pertandingan tersebut. Sang Gajah sebagai Ketua Rimba tetap bersikap adil dan tidak mahu terpengaruh dengan mana-mana pihak untuk mengadili pertandingan tersebut.

Novel Julia:

Dua watak pembantu dalam novel ini ailah Jun dan Datuk Bakar. Jun merupakan seorang pemuda yang mengambil berat tentang Julia dalam perniagaan ketika menghadapi masalah.

Manakala Datuk Bakar merupakan bapa Julia yang telah meninggaldunia. Beliau pemilik BMPRO Holding yang kini diuruskan oleh Julia. Beliau seorang yang gigih dan menjadi idola Julia.

11. Berdasarkan dua novel yang anda pelajari, bandingkan kejayaan watak utama dalam novel-novel tersebut.

Watak utama dalam novel Perlumbaan Kedua ialah tuk Kura manakala watak utama dalam novel Julia ialah Julia. Tuk Kura berjaya dalam perlumbaan dengan Sang Arnab.kejayaan ini dapat memepertahankan maruah leluhur yang dipertikai oleh Sang Arnab. Manakala Julia pula berjaya mengatasi masalah pengurusan dalam syarikatnya. Julia menemui sendiri ibu tirinya Ummi Sarah untuk menyelesaikan masalah pertikaian tuntutan hak ke atas syarikat itu.

Tuk Kura berjaya menyatupadukan anak buah yang berpecah akibat hilang keyakinan terhadap pimpinannya. Kejayaan Tuk Kura menentang Sang Arnab mendapat pengiktirafan daripada anak buah terhadap kepimpinannya. Manakala Julia pula berjaya mewujudkan aktiviti perniagaan baharu iaitu homestay. Pakej perlancongan ini dijayakan sempena perkahwinannya dengan Jun.